Suri Raudhah: November 2013

Thursday, November 7, 2013

Hari terakhir Di Madinah :Ziarah Wida'

Assalamualaikum wbt
Balik dari solat Subuh di Masjid Nabawi,balik ke hotel untuk bersarapan. Hari yang terasa berlainan dari hari sebelumnya. Maybe masing-masing menyedari ini hari yang terakhir kami berada di Madinah. Beg dan barang barang telah siap dikemaskan.
Kami telah diberitahu bahawa akan bertolak ke Bir Ali menuju ke Makkah selepas solat zuhur. Masa yang ada aku, kakak, dan sepupu mengambil keputusan untuk berada di masjid. Kakak terlebih dahulu pergi ke masjid berseorangan, kemudian  barulah aku dan sepupu turut serta. Kami berjanji dengan keluarga yang lain, akan balik ke hotel semula sebelum pukul 11.00.

Setelah berada di dalam masjid masing-masing mencari sudut bersendirian. Mencari ketenangan dengan cara sendiri. Mengalir air mata tatkala meluahkan perasaan kepada yang Maha Kuasa. Rasa syukur atas nikmat peluang yang diberi beserta rasa sayu meninggalkan bumi barakah Madinah.  Puas dan tenang, bila dapat meluahkan segala kepada-Nya. Di saat itu juga, aku berpeluang melihat bumbung masjid terbuka luas bagi tujuan pencahayaan ke dalam masjid . Nampak langit membiru . Subhanallah. aku kagum. Kagum dengan senibina Masjid Nabawi.

Kembali ke hotel, kami tak berjumpa seorang pon ahli keluarga. Tak lama lepas tu, barulah mereka kembali ke hotel. Rupanya mereka yang lain pergi buat Ziarah Wida'. Ya Allah aku tak tahu pasal ziarah wida ni. Aku hanya biasa dengar tawaf Wida'. Kesal jugak tak dapat pergi sekali.  Time tu rasa, Ya Allah aku nak buat juga berilah sedikit masa untuk kami melakukan ziarah wida' (ziarah selamat tinggal) sebagai menghormati kunjungan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad saw.

Kakak sepupu, menyuruh kami buat ziarah wida' selepas selesai buat solat jamak zuhur/asar di Masjid Nabawi. Rasa lega sebab masih ada peluang. Selepas solat aku dan sepupu bergegas keluar menuju ke kawasan kubah hijau. Adalah lebih afdal melakukan ziarah wida' di Raudhah, tapi memandangkan masa yang dah suntuk maka kami hanya berdoa di hadapan kubah hijau masjid berhampiran perkarangan perkuburan Baqi. Walaupon cuaca panas terik, hati masing masing sayu, sepupu tidak dapat menahan sebak mengalir air mata. Aku tenang berdoa mengucapkan salam dan selamat tinggal kepada Nabi Muhammad saw. Lama kubah hijau itu ditenung dengan perasaan yang tak dapat aku luahkan, Ya Rasulullah, kami sedang  berada dekat dengan jasadmu.Dekat dengan makammu. Semoga kita bertemu lagi Ya Rasulullah.. Insyaallah..

Doa Ziarah Wida'

"Ya Allah, janganlah Engkau jadikan ziarahku ke tempat mulia ini sebagai kali terakhir. Kurniakan bagiku kepadanya ziarah untuk kesekalian kalinya dalam kebajikan, kesejahteraan, kesihatan dan keselamatan. Jika aku mampu, Insya Allah aku datang lagi. Jika aku mati, kutitipkan pada sisiMu syahadah (kesaksianku, amanahku, perjanjianku, timbanganku) pada hari itu untuk kiamat. Dengan ini kesaksian bahawa tiada Tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa. Tiada sekutu bagiNya. Dan kesaksian bahawa Muhammad itu hambaNya lagi utusanNya. Maha suci Tuhan yang mulia daripada apa-apa yang mereka sifatkan. Salam untuk sekalian utusan (Rasul-rasul) dan segala pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam."

Kembali ke hotel untuk makan tengahari, kemudian berkumpul di lobi dan bersedia dengan pakai ihram. Sebelum keluar ke Masjid Nabawi pada pagi  lagi kami telah bersiap mandi sunat ihram. Kemudian kesemua jemaah memasukkan beg yang dah beranak pinak berbatu bata ke dalam bas dan coaster. Alhamdulillah, Allah swt permudahkan perjalanan dimana kami sekeluarga seramai 12 orang menaiki coaster  bertolak meninggalkan hotel dan kota Madinah untuk menuju ke Mekah.  Hati merasa sayu, Semua menyepi melayan perasaan dan juga terselit perasaan berdebar untuk sampai ke Tanah Haram Mekah..

Selamat tinggal Rasullullah SAW,Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, dan keluarga Rasulullah SAW. Selamat tinggal kota Madinah Al Munawwarah. Insyaallah..Kami akan datang lagi.

*Sayu..







rindu tu anugerah...
Thank you for reading.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Layout by suriraudhah . 2011-2013© All Rights Reserved